Malam itu, jika kamu mimpi ‘kan jin, mungkin apakah agaknya rasa deria kamu? Mungkinkah kamu akan terkesima? Ataukah mungkin kamu akan teruja kalau wajahnya macam Barbara Eden – jin seksi di dalam kotak tiga warna edisi enam puluhan. Yang memenuhi apa juga permintaan Tuannya dengan mengerlipkan matanya.
Mungkinkah jin itu menanyakan tiga permintaan sebagai tanda syukran ke atas kamu. Kerana kamu telah memerdekakan dirinya daripada botol cantik ukiran seramik Arab yang sekian lama memenjarakannya. Mungkin apakah tiga permintaan kamu? Yang satunya apa? Yang duanya apa? Yang tiga apa pula?
Mungkinkah jin itu pantas sahaja membuatkan kamu lari seperti tidak cukup ukur lilit bumi – 40,000 kilometer. Seperti empat Raja Jin Ifrit yang mempunyai kerajaan akbarnya, dilindungi bala tentera Ifrit yang bengis, banyaknya beribu laksa. Sehembus nafas sahaja kamu pasti seperti kehilangan ketenangan waras akal.
Mungkinkah jin itu menepukkan di pundak kamu agar kamu mengimami solat barisan-barisan sof mereka. Barisan berjubah putih yang tersusun rapi, umpama tiang-tiang bangunan yang menongkat langit. Sahutan ‘Amin’ di balik pundak kamu mungkin bisa sahaja menggegarkan kerahmatan malam. Mungkin malam itu adalah buat kamu, khusus. Syukur.
Ya, itu malam buat kamu, bukan bagiku.
Di pandangan mata Pencipta yang Maha Berkehendak, jin itu terletak sama parasnya dengan makhluk yang dipanggil manusia. Kita ini manusia. Kita akan kukuh lagi perkasa bukan dengan satu, tapi dengan jama’. Perkasa serta hikmah menyelongkari apa jua yang ada di setiap perusuk langit dan bumi ini. JanjiNya pasti, maka terserah kita. Jinkah? Manusiakah?
Hai jama’ah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya kecuali dengan kekuatan.
(AQ S55:33)
Malam itu, aku juga perlukan kekuatan agar aku bisa menembusi tembok yang menghentam kepala jiwa rasa.
Imran Abdul Jabar
















